Ada sebahagian penceramah mendakwa kononnya syaitan tidak berjaya memujuk Nabi Adam a.s. untuk memakan Buah Khuldi sehingglah setelah dia berjaya memperdayakan Hawa a.s. untuk merasai buah itu terlebih dahulu. Selepas itu, dek termakan pujuk rayu Hawa a.s., barulah Nabi Adam a.s. turut sama menjamah Buah Khuldi. Kesannya mereka berdua pun dihukum keluar daripada syurga.
Kononnya, kisah ini mahu menggambarkan betapa dahsyatnya tipu daya wanita (berbanding syaitan) kepada lelaki.
Tetapi, benarkah dakwaan ini di sisi al-Quran dan as-Sunnah?
Realitinya, al-Quran memberikan gambaran yang 360° berbeza dengan dakwaan penceramah tersebut, antaranya melalui firman-Nya:
فَوَسۡوَسَ إِلَیۡهِ ٱلشَّیۡطَـٰنُ قَالَ یَـٰۤـَٔادَمُ هَلۡ أَدُلُّكَ عَلَىٰ شَجَرَةِ ٱلۡخُلۡدِ وَمُلۡكࣲ لَّا یَبۡلَىٰ فَأَكَلَا مِنۡهَا فَبَدَتۡ لَهُمَا سَوۡءَ ٰ تُهُمَا وَطَفِقَا یَخۡصِفَانِ عَلَیۡهِمَا مِن وَرَقِٱلۡجَنَّةِۚ وَعَصَىٰۤ ءَادَمُ رَبَّهُۥ فَغَوَىٰ
Maksudnya: Lalu, syaitan pun membisikkan (tipu daya) kepadanya (Adam) dengan berkata, "Wahai Adam, mahukan aku tunjukkan kepadamu sebatang pokok yang menyebabkan engkau hidup selama-lamanya dan kekuasaan yang tidak akan lenyap?"
Maka, mereka berdua (Adam dan Hawa) pun memakan dari pokok itu, lalu terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-masing, dan mereka pun mulalah menutup aurat mereka itu dengan daun-daun dari syurga. Dengan yang demikian itu, telah derhakalah Adam kepada Tuhannya dan telah menjadi rosaklah kehidupannya (di syurga itu).
Ayat di atas dengan jelas menyatakan bahawa syaitan memperdayakan Nabi Adam a.s. supaya makan sesuatu daripada Pohon Khuldi. Lalu, mereka berdua pun sama-sama menjamahnya. Tetapi langsung tidak disebutkan adakah yang mereka makan itu buah, daun, akar dan sebagainya. Maka, istilah "Buah" itu pun hanya berasal daripada Israiliat.
Rentetan itu, Allah meletakkan beban kesalahan kepada Nabi Adam a.s. (bukan kepada Hawa) dengan menyatakan bahawa baginda menderhakai perintah kepada Allah s.w.t.
TAMBAHAN PENULIS
Sebaliknya, versi kisah yang meletakkan beban kesalahan kepada Hawa a.s. sebenarnya berasal daripada Bible, sebagaimana yang disebutkan di dalam Kitab Kejadian:
Ular ialah binatang yang paling licik antara semua binatang yang dijadikan oleh Tuhan. Ular itu bertanya kepada perempuan itu, “Benarkah Tuhan melarang kamu makan buah daripada sebarang pokok di taman ini?”
“Kami boleh makan buah daripada setiap pokok di taman ini,” jawab perempuan itu, “kecuali buah pokok yang ada di tengah-tengah taman. Tuhan melarang kami makan buah pokok itu ataupun menyentuhnya; jika kami berbuat demikian, kami akan mati.”
Ular itu menjawab, “Itu tidak benar; kamu tidak akan mati. Tuhan berfirman demikian kerana Dia tahu bahawa jika kamu makan buah itu, fikiran kamu akan terbuka; kamu akan menjadi seperti Tuhan dan mengetahui apa yang baik dan apa yang jahat.”
Perempuan itu nampak bahawa pokok itu cantik dan buahnya enak dimakan. Dia berfikir betapa baiknya jika dia menjadi bijaksana. Oleh itu dia memetik buah pokok itu dan memakannya. Dia juga memberikan buah pokok itu kepada suaminya, dan suaminya pun makan buah itu.
Sebaik sahaja mereka makan buah itu, fikiran mereka terbuka dan mereka sedar bahawa mereka bertelanjang. Oleh itu mereka merangkaikan daun ara, lalu menutupi tubuh mereka dengan rangkaian daun itu.
Pada petang itu, mereka mendengar Tuhan berjalan di taman, lalu mereka bersembunyi di antara pokok-pokok supaya tidak dapat dilihat-Nya. Tetapi Tuhan memanggil lelaki itu, “Di manakah engkau?”
Lelaki itu menjawab, “Aku mendengar Engkau di taman; aku takut, lalu aku bersembunyi kerana aku bertelanjang.”
“Siapa yang memberitahukan bahawa engkau bertelanjang?” tanya Tuhan. “Adakah engkau makan buah yang terlarang itu? Aku sudah melarang engkau makan buah itu.”
Lelaki itu menjawab, “Perempuan yang Engkau jadikan temanku memberikan buah itu kepadaku, lalu aku memakannya.”
Tuhan bertanya kepada perempuan itu, “Mengapa engkau melakukan hal itu?” Perempuan itu menjawab, “Ular menipu aku sehingga aku makan buah itu.”
Malangnya, kisah versi Bible inilah yang disebarkan kepada masyarakat oleh sebahagian penceramah yang kurang cermat dalam menapis sumber maklumat yang mereka peroleh.
Maka, setelah jelas kebatilan kisah ini dan percanggahannya dengan al-Quran, kita berharap para penceramah bebas dan masyarakat akan mendahulukan apa yang difirmankan oleh Allah s.w.t. di dalam al-Quran berbanding kisah yang diselewengkan di dalam Bible.
Wallahu a’lam.