Sekiranya seseorang cenderung kepada pendapat yang mengatakan bahawa hukum zakat pendapatan adalah tidak wajib, tetapi mengubah pendiriannya setelah belajar atau mendengar hujah para ‘ulamak yang mewajibkan zakat pendapatan, dia tidak perlu mengqadha' (menggantikan) zakat pendapatannya yang terdahulu.
Hal ini sama seperti seseorang yang berpegang kepada pendapat bahawa tersentuh bukan mahram tidak membatalkan wudhu’, lalu dia mengubah pendiriannya pada kemudian hari, dia tidak perlu mengqadha’ solatnya yang terdahulu (yang ditunaikannya setelah dia tersentuh bukan mahram), kerana solatnya itu sah di sisi pendapat pilihannya yang terdahulu.
Sebaliknya, jika dia tersentuh bukan mahram dalam keadaan dia meyakini bahawa perbuatan tersebut membatalkan wudhu’, lalu dia tetap juga bersolat tanpa memperbaharui wudhu’nya, maka ketika itu, solatnya itu tidak sah dan dia wajib mengqadha’nya.
Demikianlah juga halnya dalam masalah zakat, seperti zakat pendapatan. Hal ini sebagaimana yang disebutkan oleh al-Imam asy-Syafi’i:
“Ketika penunaian zakat itu dapat dilakukan dengan segera, maka orang yang mengakhirkan penunaiannya (sehingga masuk tahun baharu), dia dianggap menceroboh (kewajipan berzakat), sehingga dia mesti bertanggungjawab terhadap pencerobohan yang dia lakukan.”
[an-Nawawi, al-Majmu’ (5/302).]
Cara menunaikan qadha’ zakat adalah berdasarkan kepada nilai harta dan nisab kepada haul yang terdahulu (iaitu pada tahun zakatnya itu ditinggalkan). Pembayarannya pula boleh dilakukan secara ansuran atau mengikut kemampuan.
Wallahua’lam.