Return to site

SERUAN MADAD ADALAH SYI'AR PEMUJA KUBUR

August 14, 2024

Jika Kaum Syi’ah menyeru, “Ya ‘Ali, madad!” yang bermaksud, “Wahai Ali, tolonglah (kami)!” Kaum Brelvi pula menyeru, “Ya Rasulallah, madad!” yang bermaksud, “Wahai Rasulullah, tolonglah (kami)!”

Budaya inilah juga yang telah mula sampai ke tempat kita yang dibawa oleh Kaum Kuburiyyun (para pemuja kubur) seperti Kaum Brelvi.

Di India, Kaum Brelvi memuja kubur sebarang tokoh yang mereka angkat sebagai wali, hatta tokoh-tokoh yang menentang mereka sekalipun. Misalnya, para ulama Deobandi menghukum Kaum Brelvi sebagai sesat.

Meskipun demikian, setelah ulama Deobandi itu meninggal dunia, Kaum Brelvi tetap akan mengunjungi kuburnya dan berdoa kepada ulama Deobandi tersebut, sehingga kuburnya perlu dijaga supaya tidak terus dipuja.

Kaum Brelvi dan para pemuja kubur ini semuanya mengaku beragama Islam, tetapi Islam yang mereka amalkan jauh bezanya dengan apa yang diajarkan oleh Nabi s.a.w., kerana mereka bertaqlid kepada orang-orang yang sesat yang mencampur adukkan tauhid dengan syirik.

Golongan ini juga suka memutar belit hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Misalnya, Nabi s.a.w. bersabda:

نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِفَزُورُوهَا

Maksudnya:

“Aku telah melarang kalian (sebelum ini) daripada menziarahi kubur. (Tetapi,
sekarang kalian sudah diberikan keizinan untuk menziarahinya.) Maka, ziarahilah ia.”

Lalu, para pemuja kubur ini pun menjadikan hadis ini sebagai hujah untuk menziarahi kubur dengan
sebarang kaifiat yang mereka kehendaki hatta bernasyid dan berqasidah di sana. Bukan itu saja, mereka turut menghias kubur dengan bunga-bungaan, lalu mereka mula bersujud bahkan meniarap di kubur, mengucup batu nisan dan berdoa kepada mayat.

Walhal bukanlah begitucaranya Rasulullah s.a.w. menziarahi kubur. Di dalam riwayat at-Tirmizi, terdapat tambahan:

فَزُورُوهَا فَإِنَّهَا تُذَكِّرُ الآخِرَةَ

Maksudnya:

“Maka, ziarahilah ia (kubur) kerana sesungguhnya, ia mengingatkan kepada akhirat.”

Ertinya, pensyari’atan ziarah kubur adalah untuk mengingatkan kita kepada akhirat, sedangkan apa yang mereka lakukan seperti bernyanyi dan menghias kubur bukannya menambahkan ingatan kepada akhirat, sebaliknya menambahkan kelalaian dan mendekatkan mereka ke pintu tasybih (penyerupaan) dengan amalan Kaum Yahudi dan Nasrani yang dilaknat oleh Allah s.w.t.

Hal ini sebagaimana yang dikhabarkan oleh A’isyah r.a.ha.:

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ أُمَّ حَبِيبَةَ وَأُمَّسَلَمَةَ ذَكَرَتَا كَنِيسَةً رَأَيْنَهَا بِالْحَبَشَةِ فِيهَا تَصَاوِيرُ لِرَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِنَّ أُولَئِكِ إِذَا كَانَ فِيهِمُ الرَّجُلُ الصَّالِحُ فَمَاتَ بَنَوْا عَلَى قَبْرِهِ مَسْجِدًا وَصَوَّرُوا فِيهِ تِلْكَ الصُّوَرَ أُولَئِكِ شِرَارُ الْخَلْقِ عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya:

Daripada ‘A’isyah, bahawasanya Ummu Habibah dan Ummu Salamah pernah menceritakan tentang sebuah gereja yang mereka lihat di Habsyah kepada Rasulullah s.a.w. yang mana di dalamnya terdapat gambar-gambar.

Maka, Rasulullah s.a.w. pun bersabda, “Sesungguhnya, mereka itu adalah satu kaum yang mana apabila terdapat orang soleh yang meninggal dunia dalam kalangan mereka, mereka pasti akan membina sebuah masjid (tempat ibadat) di atas kuburnya dan mereka akan menghiasnya dengan gambar-gambar orang soleh tersebut. Mereka itulah seburuk-buruk makhluk di sisi Allah pada Hari Qiyamat nanti!”

Di dalam riwayat lain, ‘A’isyahr.a.ha. berkata:

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي مَرَضِهِ الَّذِي لَمْ يَقُمْ مِنْهُ‏ لَعَنَ اللَّهُ الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى اتَّخَذُوا قُبُورَ أَنْبِيَائِهِمْ مَسَاجِدَ‏.‏ قَالَتْ فَلَوْلاَ ذَاكَ أُبْرِزَ قَبْرُهُ غَيْرَ أَنَّهُ خُشِيَ أَنْ يُتَّخَذَ مَسْجِدًا

Maksudnya:

Rasulullah s.a.w. bersabda ketika baginda sedang nazak, “Allah telah melaknat Yahudi dan Nasrani (kerana) mereka telah menjadikan kubur para Nabi mereka sebagai masjid-masjid.” 

Kata ‘A’isyah, “Kalaulah bukan kerana sabda baginda tersebut, nescaya ditampakkan kubur baginda. Hanyasanya (tidak dilakukan demikian kerana) dibimbangi kubur baginda akan dijadikan masjid.”

Meskipun sama, amalan ini tetap mereka pertahankan dan tidak pernah sama sekali dilarang oleh para pemimpin mereka, sedangkan Agama Islam sangat menjaga umatnya daripada pintu-pintu kesyirikan dan jalan-jalan yang membawa kepada kesesatan.

Malangnya, pintu-pintu ini mereka cerobah atas nama “Cinta Rasulullah s.a.w.,” sedangkan hakikatnya mereka adalah pencinta kubur, khususnya kubur para awliya’. Buktinya, di mana sahaja ada kubur wali, mereka pasti bertumpu padanya.

Apa yang membimbangkan kita adalah hadirnya golongan ini ke negara kita tanpa disedari oleh kebanyakan masyarakat awam. Pihak berkuasa agama juga seolah-olah tidak peka dengan masalah ini dan tidak mengendahkannya.

Maka, di sinilah terujinya keimanan seorang Muslim. Orang yang mempunyai iman yang benar, pasti tidak akan terpedaya dengan dakyah seperti ini, lebih-lebih lagi jika seseorang itu lebih mementingkan sunnah Rasulullah s.a.w. berbanding qasidah yang mempunyai lirik yang bercelaru, sehingga ada yang tidak tahu ungkapan, “Madad ya Rasulullah” itu bercanggah dengan Islam atau tidak.

Alangkah jahilnya mereka sehinggakan tidak tahu lagi pangkal iman dan tauhid. Lalu, mereka pun terus tenggelam di dalam nasyid dan qasidah; kononnya itulah yang akan menyelamatkan mereka, dalam keadaan sunnah Rasulullah s.a.w. yang sebenar ditinggalkan entah ke mana.